Tuesday, April 21, 2009

Semangat timba ilmu pudar

SAYA seorang pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Selama ini, saya main-main dan tidak serius menimba ilmu.Apabila melihat rakan berjaya, semangat untuk bersaing itu bertambah. Masalahnya, kadangkala saya tidak dapat fokus ketika belajar dan ia membuatkan semangat untuk bersaing itu pudar.
Dr, apa yang harus saya lakukan? Saya juga ingin berjaya seperti rakan lain.

Insan Lemah,
Kuala Lumpur

Dr ucapkan tahniah kerana adik mempunyai keinginan untuk serius dalam pelajaran. Iman Al Ghazali ada mengatakan ilmu itu kehidupan hati daripada kebutaan, sinar penglihatan daripada kezaliman dan tenaga badan daripada kelemahan. Seterusnya, menuntut ilmu adalah takwa, menyampaikan ilmu adalah ibadah, mengulang-ulang ilmu adalah zikir dan mencari ilmu adalah jihad.Persaingan yang sihat dalam pelajaran boleh membuatkan individu itu lebih bermotivasi dan ingin berjaya dalam hidup. Ada beberapa petua untuk adik fokus dalam pelajaran iaitu dengan mencari tempat belajar yang bebas atau kurang gangguan. Ini sangat penting untuk adik mudah mencerna maklumat. Selain itu, adik juga perlu membentuk sendiri strategi untuk belajar seperti bila, di mana dan berapa banyak yang adik ingin pelajari. Disiplin adalah elemen yang sangat penting jika adik ingin fokus pada pelajaran. Tentukan sendiri peraturan belajar dan ia perlu diikuti. Apa yang penting, adik harus selalu memberi motivasi dan mengingatkan diri mengapa adik perlu belajar. Buat jadual belajar sendiri serta ikuti kuliah dengan bersungguh-sungguh. Selain itu, jumlah jam belajar berbeza antara satu individu dengan individu lain. Lebih baik seseorang itu belajar dalam jangka waktu yang pendek tetapi kerap kerana maklumat yang adik boleh peroleh selalunya hanya pada satu jam yang pertama. Adik juga perlu selalu mengulang kaji pelajaran untuk menguatkan ingatan. Kajian yang dibuat mendapati sesuatu perkara yang dibaca dan jika tiada pengukuhan dalam masa 24 jam, individu hanya akan dapat mengingati 35% daripada maklumat itu dan selepas 24 jam seterusnya, hanya 10 % ingatan yang kekal. Untuk lebih mengingati apa yang sudah dipelajari, adik boleh gunakan beberapa cara. Antaranya belajar bersama-sama dengan rakan dan terjemahkan apa yang sudah dipelajari dengan menulisnya semula. Luahkan juga apa yang dipelajari dengan suara yang kuat. Adik juga boleh terjemahkan apa yang dipelajari dengan membuat senarai peristiwa. Belajar istilah dan simbol baru. Hubung kaitkan maklumat yang dipelajari dengan apa yang adik ketahui atau pengalaman yang ada. Jika adik fokus dalam pelajaran, adik boleh berjaya seperti rakan lain.


p/s: Meminjam kata-kata Iman Al-Ghazali, bersungguh-sungguh engkau dalam menuntut ilmu, jauhilah kemalasan dan kebosanan kerana jika tidak demikian engkau akan berada dalam bahaya kesesatan. Selamat berjaya.

sumber dari surat khabar my metro

0 comments:

 

Copyright © 2011 Reserved to adamhawa
Design with love by CikBulat