Saturday, January 8, 2011

sikap tercela

10 sikap buruk manusia yang dicela Allah


SYEIKH
Abdul Kadir Abdul Mutalib dalam buku tasauf Penawar Bagi Hati
menjelaskan mengenai sepuluh celaan Allah kepada manusia akibat dari
kelakuan dan tabiat manusia sendiri ketika menempuh kehidupan seharian.


Sepuluh celaan itu berdasarkan sepuluh sikap yang lazim dilakukan manusia iaitu:

1. Gelojoh ketika makan

Dalam
erti kata lain, seseorang yang kuat dan tidak bersopan ketika makan.
Sikap ini juga meliputi maksud makan terlalu kenyang, menyediakan
makanan dalam jumlah yang berlebihan, yang akhirnya membawa kepada
pembaziran.

2. Banyak bercakap

Allah
mencela manusia yang suka bercakap perkara yang sia-sia, fitnah
memfitnah, umpat keji dan kata mengata kerana semua jenis percakapan
itu menjurus kepada permusuhan dan perbalahan sesama manusia.

3. Suka marah-marah

Kemarahan
boleh membuat seseorang itu bertindak di luar batas kemanusiaan.
Perbuatan marah akan diikuti dengan maki hamun, mengherdik dan
perkelahian yang boleh mengakibatkan kecederaan atau pembunuhan.

4. Hasad dengki

Seseorang
yang bersifat dengki sanggup melakukan apa saja dalam bentuk kejahatan
atau jenayah. Perbuatan menipu dan sanggup memusnah hidup orang lain
adalah antara sifat keji yang lahir dari perasaan hasad dengki.
Rasulullah bersabda: 'Dengki itu memakan segala kebaikan' (riwayat
Muslim).

5. Kedekut

Rezeki
yang Allah kurniakan lebih suka disimpan hingga bertimbun banyaknya.
Sifat kedekut menghijab (menutup) seseorang dari membelanjakan
sebahagian dari hartanya ke jalan kebaikan termasuk menderma, membuat
kebajikan ke jalan Allah dan membantu orang yang memerlukan.

6. Bermegah-megah

Ia termasuk sikap suka status atau jawatan, gelaran dan menerima sanjungan.

7. Cintakan dunia

Terlalu
menghambakan diri kepada perkara duniawi hingga melupakan tuntutan
ukhrawi. Rasulullah bersabda: "Bekerjalah kamu di dunia seolah-olah
kamu akan hidup seribu tahun, dan beramallah kamu untuk akhirat
seolah-olah kamu akan mati esok hari."
(riwayat Bukhari dan Muslim).

8. Ego atau sombong

Sifat membuat seseorang merasakan dirinya mempunyai kelebihan dalam
banyak perkara dari orang lain hingga mereka lupa bahawa hanya Allah
saja yang bersifat maha besar.

9. Ujub dan suka bangga diri

Perbuatan
ini ada unsur megah dan sombong dengan kelebihan dan kepandaian yang
dikurniakan Allah. Rasa bersyukur tidak ada lagi dalam diri kerana
telah diselaputi perasaan ego.

10. Gemarkan pujian atau riak

Manusia
jenis ini suka meminta dipuji dalam setiap perkara yang dilakukan.
Sikap baiknya, jasa dan baktinya mahu dikenang sampai bila-bila. Ini
jelas membayangkan bahawa sikap baiknya selama ini, tidak diiringi
dengan kejujuran dan keikhlasan.

Sepuluh sikap yang dicela Allah ini, jika diamalkan, akan termasuk dalam kategori melakukan dosa besar.

saya juga mempunyai salah satu sifat yg tertera diatas tapi sampai bila ia harus berlaku? berubahlah selagi ada waktu selagi ALLAH beri peluang untuk kita bertaubat. jangan kita menjadi sebilangan manusia yg hanya tunggu hidayah ALLAH untuk berubah. sedang hidayah itu terbit sendiri jika hati benar2 mahu kan perubahan bak kata artis yg tidak bertudung ' insyaallah belum sampai seru lagi' dan mereka tidak tahu esok pun boleh mati jika kematianya tercatat diluh mahfuz.

p/s: sebab itu islam menganjurkan muhasabah supaya setiap perkara perlu koreksi.

0 comments:

 

Copyright © 2011 Reserved to adamhawa
Design with love by CikBulat