gambaran padang mahsyar

Gambaran Padang Masyhar

1. Selepas Malaikat Israfil meniup sangkakala (bentuknya seperti

tanduk besar) yang memekakkan telinga, seluruh makhluk mati kecuali

Izrail & beberapa malaikat yg lain.. Selepas itu, Izrail pun mencabut

nyawa malaikat yg tinggal dan akhirnya nyawanya sendiri.

2. Selepas semua makhluk mati, Tuhan pun berfirman

mafhumnya "Kepunyaan siapakah kerajaan hari ini?" Tiada siapa yang

menjawab. Lalu Dia sendiri menjawab dengan keagunganNya "Kepunyaan

Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa". Ini menunjukkan kebesaran &

keagunganNya sebagai Tuhan yg Maha Kuasa lagi Maha Kekal Hidup, tidak

mati.

3. Selepas 40 tahun, Malaikat Israfil a.s. dihidupkan, seterusnya

meniup sangkakala untuk kali ke-2, lantas seluruh makhluk hidup semula

di atas bumi putih, berupa padang Mahsyar (umpama padang Arafah) yang

rata tidak berbukit atau bulat seperti bumi.

4. Sekelian manusia hidup melalui benih anak Adam yg disebut "Ajbuz

Zanbi" yang berada di hujung tulang belakang mereka. Hiduplah manusia

umpama anak pokok yg kembang membesar dari biji benih.

5. Semua manusia dan jin dibangkitkan dalam keadaan telanjang dan

hina. Mereka tidak rasa malu kerana pada ketika itu hati mereka sangat

takut dan bimbang tentang nasib & masa depan yang akan mereka hadapi

kelak.

6. Lalu datanglah api yang berterbangan dengan bunyi seperti guruh

yang menghalau manusia, jin dan binatang ke tempat perhimpunan besar.

Bergeraklah mereka menggunakan tunggangan (bagi yang banyak amal),

berjalan kaki (bagi yang kurang amalan) dan berjalan dengan muka (bagi

yang banyak dosa). Ketika itu, ibu akan lupakan anak, suami akan

lupakan isteri, setiap manusia sibuk memikirkan nasib mereka.

7. Setelah semua makhluk dikumpulkan, matahari dan bulan dihapuskan

cahayanya, lalu mereka tinggal dalam kegelapan tanpa cahaya.

Berlakulah huru-hara yang amat dahsyat.

8. Tiba-tiba langit yang tebal pecah dengan bunyi yang dahsyat, lalu

turunlah malaikat sambil bertasbih kepada Allah Ta'ala. Seluruh

makhluk terkejut melihat saiz malaikat yang besar dan suaranya yang

menakutkan.

9. Kemudian matahari muncul semula dengan kepanasan yang berganda.

Hingga dirasakan seakan-akan matahari berada sejengkal dari atas

kepala mereka. Ulama berkata jika matahari naik di bumi seperti

keadaannya naik dihari Kiamat nescaya seluruh bumi terbakar, bukit-

bukau hancur dan sungai menjadi kering. Lalu mereka rasai kepanasan

dan bermandikan peluh sehingga peluh mereka menjadi lautan. Timbul

atau tenggelam mereka bergantung pada amalan masing-masing. Keadaan

mereka berlanjutan sehingga 1000 tahun.

10. Terdapat satu kolam kepunyaan Nabi Muhammad s.a.w. bernama

Al-Kausar yang mengandungi air yang hanya dapat diminum oleh orang

mukmin sahaja. Orang bukan mukmin akan dihalau oleh malaikat yang

menjaganya. Jika diminum airnya tidak akan haus selama-lamanya. Kolam

ini berbentuk segi empat tepat sebesar satu bulan perjalanan. Bau air

kolam ini lebih harum dari kasturi, warnanya lebih putih dari susu dan

rasanya lebih sejuk dari embun. Ia mempunyai saluran yang mengalir

dari syurga.

11. Semua makhluk berada bawah cahaya matahari yang terik kecuali 7 golongan yang mendapat teduhan dari Arasy. Mereka ialah:

-Pemimpin yang adil.

-Orang muda yang taat kepada perintah Allah.

-Lelaki yang terikat hatinya dgn masjid.

-Dua orang yang bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.

-Lelaki yang diajak oleh wanita berzina, tetapi dia menolak dengan

berkata "Aku takut pada Allah".

-Lelaki yg bersedekah dengan bersembunyi (tidak diketahui orang

ramai).

-Lelaki yang suka bersendirian mengingati Allah lalu mengalir air

matanya kerana takutkan Allah.

12. Oleh kerana tersangat lama menunggu di padang mahsyar, semua

manusia tidak tahu berbuat apa melainkan mereka yang beriman, kemudian

mereka terdengar suara "pergilah berjumpa dengan para Nabi". Maka

mereka pun pergi mencari para Nabi. Pertama sekali kumpulan manusia

ini berjumpa dengan Nabi Adam tetapi usaha mereka gagal kerana Nabi

Adam a.s menyatakan beliau juga ada melakukan kesalahan dengan Allah

Ta'ala. Maka kumpulan besar itu kemudiannya berjumpa Nabi Nuh a.s.,

Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s. (semuanya memberikan

sebab seperti Nabi Adam a.s.) dan akhirnya mereka berjumpa Rasullullah

saw. Jarak masa antara satu nabi dengan yang lain adalah 1000 tahun

perjalanan.

13. Lalu berdoalah baginda Nabi Muhammad s.a.w. ke hadrat Allah

Ta'ala. Lalu diperkenankan doa baginda.

14. Selepas itu, terdengar bunyi pukulan gendang yang kuat hingga

menakutkan hati semua makhluk kerana mereka sangka azab akan turun.

Lalu terbelah langit, turunlah arasy Tuhan yang dipikul oleh 8 orang

malaikat yang sangat besar (besarnya sejarak perjalanan 20ribu tahun)

sambil bertasbih dengan suara yang amat kuat sehingga 'Arasy itu tiba

dibumi.

15. 'Arasy ialah jisim nurani yang amat besar berbentuk kubah

(bumbung bulat) yang mempunyai 4 batang tiang yang sentiasa dipikul

oleh 4 orang malaikat yang besar dan gagah. Dalam bahasa mudah ia

seumpama istana yang mempunyai seribu bilik yang menempatkan jutaan

malaikat di dalamnya. Ia dilingkungi embun yang menghijab cahayanya

yang sangat kuat.

16. Kursi iaitu jisim nurani yang terletak di hadapan Arasy

yang dipikul oleh 4 orang malaikat yang sangat besar. Saiz kursi lebih

kecil dari 'Arasy umpama cincin ditengah padang . Dalam bahasa mudah

ia umpama singgahsana yang terletak dihadapan istana.

17. Seluruh makhluk pun menundukkan kepala kerana takut. Lalu

dimulakan timbangan amal. Ketika itu berterbanganlah kitab amalan

masing-masing turun dari bawah Arasy menuju ke leher pemiliknya tanpa

silap dan tergantunglah ia sehingga mereka dipanggil untuk dihisab.

Kitab amalan ini telah ditulis oleh malaikat Hafazhah / Raqib

& 'Atid / Kiraman Katibin.

18. Manusia beratur dalam saf mengikut Nabi dan pemimpin masing-

masing. Orang kafir & munafik beratur bersama pemimpin mereka yang

zalim. Setiap pengikut ada tanda mereka tersendiri untuk dibezakan.

19. Umat yang pertama kali dihisab adalah umat Nabi Muhammad s.a.w.,

dan amalan yang pertama kali dihisab adalah solat. Sedangkan hukum

yang pertama kali diputuskan adalah perkara pertumpahan darah.

20. Apabila tiba giliran seseorang hendak dihisab amalannya, malaikat

akan mencabut kitab mereka lalu diserahkan, lalu pemiliknya mengambil

dengan tangan kanan bagi orang mukmin dan dengan tangan kiri jika

orang bukan mukmin.

21. Semua makhluk akan dihisab amalan mereka menggunakan satu Neraca

Timbangan. Saiznya amat besar, mempunyai satu tiang yang mempunyai

lidah dan 2 daun. Daun yang bercahaya untuk menimbang pahala dan yang

gelap untuk menimbang dosa.

22. Acara ini disaksikan oleh Nabi Muhammad s.a.w. dan para imam 4

mazhab untuk menyaksikan pengikut masing-masing dihisab.

23. Perkara pertama yang diminta ialah Islam. Jika dia bukan Islam,

maka seluruh amalan baiknya tidak ditimbang bahkan amalan buruk tetap

akan ditimbang.

24. Ketika dihisab, mulut manusia akan dipateri, tangan akan berkata-

kata, kaki akan menjadi saksi. Tiada dolak-dalih dan hujah tipuan.

Semua akan di adili oleh Allah Ta'ala dengan Maha Bijaksana.

25. Setelah amalan ditimbang, mahkamah Mahsyar dibuka kepada orang

ramai untuk menuntut hak masing-masing dari makhluk yang sedang

dibicara sehinggalah seluruh makhluk berpuas hati dan dibenarkannya

menyeberangi titian sirat.

26. Syafaat Nabi Muhammad s.a.w. di akhirat :

a. Meringankan penderitaan makhluk di Padang Mahsyar dengan

mempercepatkan hisab.

b. Memasukkan manusia ke dalam syurga tanpa hisab.

c. Mengeluarkan manusia yang mempunyai iman sebesar zarah dari neraka.

Semua syafaat ini tertakluk kepada keizinan Allah Ta'ala.

27. Para nabi dan rasul serta golongan khawas juga diberikan izin oleh

Tuhan untuk memberi syafaat kepada para pengikut mereka. Mereka ini

berjumlah 70 000. Setiap seorang dari mereka akan mensyafaatkan 70 000

orang yang lain.

28. Setelah berjaya dihisab, manusia akan mula berjalan menuju syurga

melintasi jambatan sirat. Siratul Mustaqim ialah jambatan (titian)

yang terbentang dibawahnya neraka. Lebar jambatan ini adalah seperti

sehelai rambut yang dibelah tujuh dan ia lebih tajam dari mata pedang.

Bagi orang mukmin ia akan dilebarkan dan dimudahkan menyeberanginya.

29. Fudhail bin Iyadh berkata perjalanan di Sirat memakan masa 15000

tahun. 5000 tahun menaik, 5000 tahun mendatar dan 5000 tahun menurun.

Ada makhluk yang melintasinya seperti kilat, seperti angin, menunggang

binatang korban dan berjalan kaki. Ada yang tidak dapat melepasinya

disebabkan api neraka sentiasa menarik kaki mereka, lalu mereka jatuh

ke dalamnya.

30. Para malaikat berdiri di kanan dan kiri sirat mengawasi setiap

makhluk yang lalu. Setiap 1000 orang yang meniti sirat, hanya seorang

sahaja yang Berjaya melepasinya. 999 orang akan terjatuh ke dalam

neraka.

Rujukan

Kitab Aqidatun Najin karangan Syeikh Zainal Abidin Muhammad Al-

Fathani. Pustaka Nasional Singapura 2004.

Dalam sepotong ayat dan hadis ada menerangkan:

"Sesungguhnya yang mengada-adakan kebohongan itu hanyalah orang-orang yang tidak beriman dengan ayat-ayat Allah dan merekalah pembohong-pembohong ." (An-Nahl ayat 105)

"Barangsiapa mengatakan dariku apa yang aku tidak katakan, maka hendaklah Ia bersedia mengambil tempatnya dari Neraka."(HR: Az-Zahabi dlm Al-Kabair.)

Hai orang-orang yang beriman, bertobatlah kepada Allah dengan tobat yang semurni-murninya, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapus kesalahan-kesalahanmu dan memasukkan kamu ke dalam surga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, pada hari ketika Allah tidak menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama dengan dia; sedang cahaya mereka memancar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, sambil mereka mengatakan: “Ya Tuhan kami, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan ampunilah kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu”. (At Tahrim 8)


p/s: muhasabah.....bila kita baca pastinya kita tahu bagaiaman amalan kita banyak atau sebaliknya....